Monday, August 6, 2012

SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH TUANKU ABDUL RAHMAN IPOH


    
Penubuhan Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (S.T.A.R.) mempunyai kaitan rapat dengan Laporan Razak dan desakan nasionalis Melayu yang mahukan agar pendidikan di kalangan anak Melayu dipertingkatkan menjelang Kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Encik Hamdan Sheikh Tahir yang pada masa tersebut menjadi Pengelola Sekolah-Sekolah Menengah telah diberi tanggungjawab untuk merangka konsep sekolah menengah berasrama penuh yang ideal dan diterima oleh pihak berkuasa pendidikan. Dari sini lahirlah Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh; Sekolah Dato’ Razak, Tanjung Malim dan Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru. Sekolah-sekolah ini telah memberi peluang kepada pelajar-pelajar Melayu yang cerdas dari luar Bandar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Penubuhan sekolah-sekolah ini merupakan percubaan berani pihak kerajaan dalam sejarah pendidikan negara kerana pada masa tersebut belum terdapat sekolah Melayu yang mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris kepada murid-muridnya.


Sejarah Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (S.T.A.R) bermula pada 2 Januari 1957 tetapi dikenali sebagai Malay Secondary School, Ipoh (M.S.S). Pada peringkat awal penubuhannya, sekolah ini ditumpangkan sementara di lima buah bangunan yang pernah digunakan oleh Askar Melayu sebagai tempat pentadbiran, tempat tinggal dan simpanan barangan yang terletak di Baeza Avenue, Ipoh. Setelah bangunan tersebut ditinggalkan oleh Askar Melayu pada 1 November  1956, Pejabat Kehutanan di Kuala Lumpur telah diminta membantu mendirikan 12 bilik darjah yang baru, 6 buah bilik mandi dan memperbesarkan dapur. Semua bangunan ini diperbuat daripada papan dan siap dibina pada 18 Januari 1957. Kawasan sekolah yang seluas 4 ekar telah sedia berpagar dengan pagar dawai berduri.   


Sekolah ini mula menerima kemasukan pelajar pada hari Ahad, 13 Januari 1957 seramai 200 orang pelajar yang berumur 14 dan 15 tahun dan ditempatkan di lima darjah tingkat 1. Mereka datang dari setiap negeri di Persekutuan Tanah Melayu setelah tamat belajar di darjah-darjah tingkat khas di enam pusat, iaitu di Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur, Kulala Lipis, Kota Bahru, Johor Bahru. Walau bagaimanapun, Guru Besar Sekolah tersebut, Encik Hamdan Sheikh Tahir telah mula bertugas pada 2 Januari  1957 dan 15 orang guru mula bertugas pada 7 Januari 1957.

Enam orang guru tersebut mendapat latihan di Kirkby Teacher’s Training College, England dan selebihnya mendapat latihan  daripada Maktab Latehan Guru, Kota Bharu, Kelantan. Sukatan pelajaran yang diajar adalah sama seperti sukatan pelajaran darjah Tingkat Satu di Sekolah Jenis Umum, iaitu menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar selain daripada mengajar Bahasa Melayu dan Kesusteraan Melayu diperingkat yang lebih tinggi.

Pada minggu pertama Mac 1957, seramai 160 orang murid lagi yang berumur 13 dan 14 tahun melaporkan diri. Mereka telah lulus peperiksaan Sekolah Melayu dan dimasukkan ke dalam empat buah darjah Tingkat Khas. Mereka menggunakan sukatan pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

Melalui Mesyuarat Guru-guru pada 20 Februari 1957, mereka bersepakat untuk menggunakan warna merah dan putih sebagai lambang sekolah dan ‘Ilmu Panduan Hidup’ sebagai cogan kata sekolah.

Selain daripada mementingkan kemajuan dalam kurikulum, S.T.A.R. juga turut menekankan penglibatan pelajar dalam bidang ko-kurikulum. Pada peringkat awal, pelajar-pelajar dibahagikan kepada empat pasukan dengan menggunakan nama Rumah Kuning, Rumah Merah, Rumah Biru, dan Rumah Putih dengan diketuai oleh guru rumah dan penolongnya. Murid-murid ini dilatih dalam pelbagai kegiatan sukan seperti olahraga, gimnastik dan senaman pada sebelah petang. Mereka juga diberi kebenaran oleh Guru Besar Anderson School untuk menggunakan padang sekolah tersebut bagi bermain bola sepak, hoki dan ragbi sebanyak dua kali seminggu. Perlawanan sukan antara pasukan juga diadakan.

Sehingga kini, STAR bukan sahaja dapat mengekalkan reputasinya dalam bidang akademik dan  k o-kurikulum, tetapi telah dapat melahirkan golongan profersional yang berjaya dalam pelbagai bidang seperti politik, pentadbiran, perniagaan, pendidikan, pembinaan, perkhidmatan awam dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment