PETANG itu, suasana di sekitar bandar Nottingham, United Kingdom tampak meriah daripada hari biasa. Di sana sini, kelihatan orang ramai yang entah dari mana mula berkumpul di sepanjang laluan menuju ke arah pusat bandar itu.
Masing-masing kelihatan ceria dan teruja. Umpama sedang berpesta, mereka bersorak dan menari tanpa henti, meniup wisel, siren, memukul gendang dan pelbagai bunyi-bunyian lain sekali gus menggamatkan suasana.
Ahmad Aiman Asmayatim, 16, hanya memerhatikan pelbagai gelagat manusia di sekelilingnya.
Seperti mereka, dia juga agak teruja menantikan acara larian obor Sukan Olimpik 2012 yang sedang berlangsung itu.
Selepas 41 hari diarak ke seluruh United Kingdom, api obor itu ‘menyala’ seketika di Nottingham, sebelum tiba ke destinasi terakhirnya di London pada 27 Julai lalu.
Bezanya, kehadiran Ahmad Aiman atau lebih mesra dengan panggilan Aiman, pelajar tingkatan empat Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak di situ pada hari itu bukan sebagai penonton, tetapi sebagai pembawa obor.
Dia merupakan salah seorang daripada 19 pembawa obor dari Azerbaijan, Brazil, Bangladesh, Mesir, Utopia, Ghana, Jordan, India, Indonesia, Mozambique, Nigeria, Palau, Afrika Selatan, Tanzania, Turki, Trinidad and Tobago, Uganda dan Zambia yang mendapat peluang keemasan itu melalui Program International Inspiration And Young Sports Leaders (II) pada 23 hingga 29 Jun lalu.
Tambah Aiman, program anjuran Lembaga Olimpik Malaysia melalui kerjasama antara UK Sport, Dana Kecemasan Pendidikan dan Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), British Council dan Jawatankuasa Penganjuran London untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik itu membolehkan dia mengenali rakan-rakan baharu yang terdiri daripada pelbagai budaya dan latar belakang.
Rasa gementar
“Kami banyak berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu.
“Di samping itu, rutin kami sepanjang tujuh hari di sana juga padat dengan pelbagai aktiviti dan acara lawatan di samping bertemu pegawai-pegawai tertinggi British Council dan Jawatankuasa Penganjuran London untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik.
“Kemuncak program ialah ketika kami semua dibawa ke Nottingham untuk menyertai acara larian obor yang diadakan di sana,” katanya.
Bercerita tentang pengalamannya, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia menjadi peserta kedua di dalam kumpulan seramai 10 orang.
Biarpun agak gementar pada mulanya, namun semua perasaan itu hilang sebaik sahaja obor yang menjadi simbol temasya sukan paling berprestij di dunia itu berada di tangannya.
“Segala-galanya berlaku dengan pantas. Tahu-tahu saja sudah sampai giliran saya.
“Sukar digambarkan perasaan saya ketika itu, bangga, seronok, teruja, semuanya bercampur-baur. Saya tak pernah bayangkan akan menjadi sebahagian daripada sejarah Sukan Olimpik,” ceritanya.
Ketika memulakan larian, hanya nama Malaysia sahaja yang bermain di fikirannya.
“Sorakan dan tepukan gemuruh dan lampu kamera yang tidak putus-putus mengenai wajah membuatkan saya seperti seorang bintang.
“Paling mengharukan, di celah wajah-wajah asing di kiri dan kanan jalan, saya sempat memerhatikan beberapa rakyat Malaysia yang bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang.
“Semasa larian tamat, ada antaranya yang datang menghampiri dan memberitahu mereka bangga melihat anak Malaysia yang diberi penghormatan sedemikian,” ujarnya yang bercita-cita menjadi seorang penyiasat suatu hari nanti.
Menyusuri perjalanan hidup remaja yang berasal dari Kuala Lumpur itu, dia sememangnya seorang yang aktif dan cemerlang dalam pelajaran sejak di sekolah rendah lagi.
Ibunya, Zuriati Ashaari, 49, bangga dengan pencapaian anaknya itu yang sebelum ini merupakan seorang yang agak pendiam dan rendah diri kerana bentuk fizikalnya yang agak gempal.
Prestasi cemerlang
“Saya selalu menasihatkan dia agar tidak mempedulikan usikan rakan-rakannya itu, sebaliknya cuba mengenali potensi dirinya untuk menjadi seorang insan yang cemerlang dan terbilang.
“Alhamdulillah, Aiman berjaya menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam peperiksaan.
“Pada masa yang sama dia sering mewakili sekolahnya dalam pelbagai acara sukan dan kokurikulum,” katanya yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Tunku Abdul Rahman.
Jelas Zuriati, seperti abangnya, Ali Asyraf, 22, Aiman mula menonjolkan ciri-ciri kepimpinan dan kemahiran berkomunikasi yang ada di dalam dirinya termasuk ketika mendapat tawaran di STAR.
Pada masa ini, dia merupakan pembahas pasukan Bahasa Melayu, ahli Badan Dakwah dan Rohani, pemain ragbi dan Ahli Kelab Young Sport Leader di sekolahnya.
“Saya gembira apabila diberitahu Aiman terpilih untuk mengikuti program di UK baru-baru ini.
“Biarpun tidak berpeluang mencipta nama sebagai atlet negara yang berjuang di pentas Olimpik, namun sekurang-kurangnya kejayaannya menjadi peserta tunggal negara ke acara itu kini terpahat di dalam lipatan sejarah,” jelasnya.
Sementara itu, Penolong Kanan STAR, Dr. Mior Hamdan Ghazali berkata, kejayaan Aiman itu sedikit sebanyak telah berjaya mengharumkan nama sekolah.
Beliau tidak menyangka daripada puluhan calon yang telah ditapis dan ditemuduga oleh British Council di Malaysia, pelajar sekolah terpilih mewakili negara ke acara itu.
“Sejak program II dilancarkan di sekolah ini kira-kira tiga tahun lalu, ia telah melahirkan ramai pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran malah mempunyai daya kepimpinan yang dinamik.
“Aiman salah seorang daripadanya. Sebelum ini pun, dia pernah mengikuti lawatan ke beberapa buah sekolah di UK dan segala ilmu dan pengalaman yang dikutipnya di situ kini dicurahkan kepada pelajar-pelajar lain di STAR,” katanya.
Mior Hamdan berkata, jika dahulu STAR lebih dikenali dengan pencapaian akademik semata-mata, kini melalui program itu, pengurusan sekolah bertekad melahirkan lebih ramai pelajar yang mampu cemerlang di dalam bidang sukan dan kokurikulum.
“Ia boleh dilihat melalui kejayaan beberapa pelajar STAR dalam mengendalikan beberapa acara penting di sekolah sebelum ini. Antaranya, pertandingan Mini Marathon, Mini Olimpik, Striking STAR, STAR Garage dan sebagainya,” katanya.
No comments:
Post a Comment