Saturday, August 25, 2012

AHMAD AIMAN WAKILI MALAYSIA BAWA OBOR OLIMPIK



PETANG itu, suasana di sekitar bandar Nottingham, United Kingdom tampak meriah daripada hari biasa. Di sana sini, kelihatan orang ramai yang entah dari mana mula berkumpul di sepanjang laluan menuju ke arah pusat bandar itu.
Masing-masing kelihatan ceria dan teruja. Umpama sedang berpesta, mereka bersorak dan menari tanpa henti, meniup wisel, siren, memukul gendang dan pelbagai bunyi-bunyian lain sekali gus menggamatkan suasana.
Ahmad Aiman Asmayatim, 16, hanya memerhatikan pelbagai gelagat manusia di sekelilingnya.
Seperti mereka, dia juga agak teruja menantikan acara larian obor Sukan Olimpik 2012 yang sedang berlangsung itu.
Selepas 41 hari diarak ke seluruh United Kingdom, api obor itu ‘menyala’ seketika di Nottingham, sebelum tiba ke destinasi terakhirnya di London pada 27 Julai lalu.
Bezanya, kehadiran Ahmad Aiman atau lebih mesra dengan panggilan Aiman, pelajar tingkatan empat Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak di situ pada hari itu bukan sebagai penonton, tetapi sebagai pembawa obor.
Dia merupakan salah seorang daripada 19 pembawa obor dari Azerbaijan, Brazil, Bangladesh, Mesir, Utopia, Ghana, Jordan, India, Indonesia, Mozambique, Nigeria, Palau, Afrika Selatan, Tanzania, Turki, Trinidad and Tobago, Uganda dan Zambia yang mendapat peluang keemasan itu melalui Program International Inspiration And Young Sports Leaders (II) pada 23 hingga 29 Jun lalu.
Tambah Aiman, program anjuran Lembaga Olimpik Malaysia melalui kerjasama antara UK Sport, Dana Kecemasan Pendidikan dan Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), British Council dan Jawatankuasa Penganjuran London untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik itu membolehkan dia mengenali rakan-rakan baharu yang terdiri daripada pelbagai budaya dan latar belakang.
Rasa gementar
“Kami banyak berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu.
“Di samping itu, rutin kami sepanjang tujuh hari di sana juga padat dengan pelbagai aktiviti dan acara lawatan di samping bertemu pegawai-pegawai tertinggi British Council dan Jawatankuasa Penganjuran London untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik.
“Kemuncak program ialah ketika kami semua dibawa ke Nottingham untuk menyertai acara larian obor yang diadakan di sana,” katanya.
Bercerita tentang pengalamannya, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia menjadi peserta kedua di dalam kumpulan seramai 10 orang.
Biarpun agak gementar pada mulanya, namun semua perasaan itu hilang sebaik sahaja obor yang menjadi simbol temasya sukan paling berprestij di dunia itu berada di tangannya.
“Segala-galanya berlaku dengan pantas. Tahu-tahu saja sudah sampai giliran saya.
“Sukar digambarkan perasaan saya ketika itu, bangga, seronok, teruja, semuanya bercampur-baur. Saya tak pernah bayangkan akan menjadi sebahagian daripada sejarah Sukan Olimpik,” ceritanya.
Ketika memulakan larian, hanya nama Malaysia sahaja yang bermain di fikirannya.
“Sorakan dan tepukan gemuruh dan lampu kamera yang tidak putus-putus mengenai wajah membuatkan saya seperti seorang bintang.
API obor yang menyala sepanjang temasya menandakan bermula perjuangan atlet-atlet yang bertanding dan mencipta kemasyuran.


“Paling mengharukan, di celah wajah-wajah asing di kiri dan kanan jalan, saya sempat memerhatikan beberapa rakyat Malaysia yang bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang.
“Semasa larian tamat, ada antaranya yang datang menghampiri dan memberitahu mereka bangga melihat anak Malaysia yang diberi penghormatan sedemikian,” ujarnya yang bercita-cita menjadi seorang penyiasat suatu hari nanti.
Menyusuri perjalanan hidup remaja yang berasal dari Kuala Lumpur itu, dia sememangnya seorang yang aktif dan cemerlang dalam pelajaran sejak di sekolah rendah lagi.
Ibunya, Zuriati Ashaari, 49, bangga dengan pencapaian anaknya itu yang sebelum ini merupakan seorang yang agak pendiam dan rendah diri kerana bentuk fizikalnya yang agak gempal.
Prestasi cemerlang
“Saya selalu menasihatkan dia agar tidak mempedulikan usikan rakan-rakannya itu, sebaliknya cuba mengenali potensi dirinya untuk menjadi seorang insan yang cemerlang dan terbilang.
“Alhamdulillah, Aiman berjaya menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam peperiksaan.
“Pada masa yang sama dia sering mewakili sekolahnya dalam pelbagai acara sukan dan kokurikulum,” katanya yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Tunku Abdul Rahman.
Jelas Zuriati, seperti abangnya, Ali Asyraf, 22, Aiman mula menonjolkan ciri-ciri kepimpinan dan kemahiran berkomunikasi yang ada di dalam dirinya termasuk ketika mendapat tawaran di STAR.
Pada masa ini, dia merupakan pembahas pasukan Bahasa Melayu, ahli Badan Dakwah dan Rohani, pemain ragbi dan Ahli Kelab Young Sport Leader di sekolahnya.
“Saya gembira apabila diberitahu Aiman terpilih untuk mengikuti program di UK baru-baru ini.
“Biarpun tidak berpeluang mencipta nama sebagai atlet negara yang berjuang di pentas Olimpik, namun sekurang-kurangnya kejayaannya menjadi peserta tunggal negara ke acara itu kini terpahat di dalam lipatan sejarah,” jelasnya.
Sementara itu, Penolong Kanan STAR, Dr. Mior Hamdan Ghazali berkata, kejayaan Aiman itu sedikit sebanyak telah berjaya mengharumkan nama sekolah.
Beliau tidak menyangka daripada puluhan calon yang telah ditapis dan ditemuduga oleh British Council di Malaysia, pelajar sekolah terpilih mewakili negara ke acara itu.
“Sejak program II dilancarkan di sekolah ini kira-kira tiga tahun lalu, ia telah melahirkan ramai pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran malah mempunyai daya kepimpinan yang dinamik.
“Aiman salah seorang daripadanya. Sebelum ini pun, dia pernah mengikuti lawatan ke beberapa buah sekolah di UK dan segala ilmu dan pengalaman yang dikutipnya di situ kini dicurahkan kepada pelajar-pelajar lain di STAR,” katanya.
Mior Hamdan berkata, jika dahulu STAR lebih dikenali dengan pencapaian akademik semata-mata, kini melalui program itu, pengurusan sekolah bertekad melahirkan lebih ramai pelajar yang mampu cemerlang di dalam bidang sukan dan kokurikulum.
“Ia boleh dilihat melalui kejayaan beberapa pelajar STAR dalam mengendalikan beberapa acara penting di sekolah sebelum ini. Antaranya, pertandingan Mini Marathon, Mini Olimpik, Striking STAR, STAR Garage dan sebagainya,” katanya.

Saturday, August 11, 2012

MAJLIS PENGKISAHAN SEJARAH SEKOLAH TUANKU ABDUL RAHMAN, IPOH


Program : Majlis Pengkisahan Sejarah S.T.A.R. Ipoh

dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia

Tarikh : 14hb. Mei 2007 (Isnin)
Masa :  8.45 - 1.30 petang.

 Tetamu Diraja : DYMM Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman
 ( Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan)

Tempat : Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur

















Monday, August 6, 2012

SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH TUANKU ABDUL RAHMAN IPOH


    
Penubuhan Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (S.T.A.R.) mempunyai kaitan rapat dengan Laporan Razak dan desakan nasionalis Melayu yang mahukan agar pendidikan di kalangan anak Melayu dipertingkatkan menjelang Kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Encik Hamdan Sheikh Tahir yang pada masa tersebut menjadi Pengelola Sekolah-Sekolah Menengah telah diberi tanggungjawab untuk merangka konsep sekolah menengah berasrama penuh yang ideal dan diterima oleh pihak berkuasa pendidikan. Dari sini lahirlah Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh; Sekolah Dato’ Razak, Tanjung Malim dan Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru. Sekolah-sekolah ini telah memberi peluang kepada pelajar-pelajar Melayu yang cerdas dari luar Bandar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Penubuhan sekolah-sekolah ini merupakan percubaan berani pihak kerajaan dalam sejarah pendidikan negara kerana pada masa tersebut belum terdapat sekolah Melayu yang mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris kepada murid-muridnya.


Sejarah Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (S.T.A.R) bermula pada 2 Januari 1957 tetapi dikenali sebagai Malay Secondary School, Ipoh (M.S.S). Pada peringkat awal penubuhannya, sekolah ini ditumpangkan sementara di lima buah bangunan yang pernah digunakan oleh Askar Melayu sebagai tempat pentadbiran, tempat tinggal dan simpanan barangan yang terletak di Baeza Avenue, Ipoh. Setelah bangunan tersebut ditinggalkan oleh Askar Melayu pada 1 November  1956, Pejabat Kehutanan di Kuala Lumpur telah diminta membantu mendirikan 12 bilik darjah yang baru, 6 buah bilik mandi dan memperbesarkan dapur. Semua bangunan ini diperbuat daripada papan dan siap dibina pada 18 Januari 1957. Kawasan sekolah yang seluas 4 ekar telah sedia berpagar dengan pagar dawai berduri.   


Sekolah ini mula menerima kemasukan pelajar pada hari Ahad, 13 Januari 1957 seramai 200 orang pelajar yang berumur 14 dan 15 tahun dan ditempatkan di lima darjah tingkat 1. Mereka datang dari setiap negeri di Persekutuan Tanah Melayu setelah tamat belajar di darjah-darjah tingkat khas di enam pusat, iaitu di Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur, Kulala Lipis, Kota Bahru, Johor Bahru. Walau bagaimanapun, Guru Besar Sekolah tersebut, Encik Hamdan Sheikh Tahir telah mula bertugas pada 2 Januari  1957 dan 15 orang guru mula bertugas pada 7 Januari 1957.

Enam orang guru tersebut mendapat latihan di Kirkby Teacher’s Training College, England dan selebihnya mendapat latihan  daripada Maktab Latehan Guru, Kota Bharu, Kelantan. Sukatan pelajaran yang diajar adalah sama seperti sukatan pelajaran darjah Tingkat Satu di Sekolah Jenis Umum, iaitu menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar selain daripada mengajar Bahasa Melayu dan Kesusteraan Melayu diperingkat yang lebih tinggi.

Pada minggu pertama Mac 1957, seramai 160 orang murid lagi yang berumur 13 dan 14 tahun melaporkan diri. Mereka telah lulus peperiksaan Sekolah Melayu dan dimasukkan ke dalam empat buah darjah Tingkat Khas. Mereka menggunakan sukatan pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

Melalui Mesyuarat Guru-guru pada 20 Februari 1957, mereka bersepakat untuk menggunakan warna merah dan putih sebagai lambang sekolah dan ‘Ilmu Panduan Hidup’ sebagai cogan kata sekolah.

Selain daripada mementingkan kemajuan dalam kurikulum, S.T.A.R. juga turut menekankan penglibatan pelajar dalam bidang ko-kurikulum. Pada peringkat awal, pelajar-pelajar dibahagikan kepada empat pasukan dengan menggunakan nama Rumah Kuning, Rumah Merah, Rumah Biru, dan Rumah Putih dengan diketuai oleh guru rumah dan penolongnya. Murid-murid ini dilatih dalam pelbagai kegiatan sukan seperti olahraga, gimnastik dan senaman pada sebelah petang. Mereka juga diberi kebenaran oleh Guru Besar Anderson School untuk menggunakan padang sekolah tersebut bagi bermain bola sepak, hoki dan ragbi sebanyak dua kali seminggu. Perlawanan sukan antara pasukan juga diadakan.

Sehingga kini, STAR bukan sahaja dapat mengekalkan reputasinya dalam bidang akademik dan  k o-kurikulum, tetapi telah dapat melahirkan golongan profersional yang berjaya dalam pelbagai bidang seperti politik, pentadbiran, perniagaan, pendidikan, pembinaan, perkhidmatan awam dan sebagainya.

Saturday, August 4, 2012

SEJARAH SUKAN OLIMPIK



TEMASYA SUKAN OLIMPIK merupakan temasya sukan yang teragong dan paling berprestij di dunia. Sukan ini bermula dari Yunani Purba, dihidupkan semula oleh seorang bangsawan Perancis bernama Pierre de Coubertin pada akhir abad ke-19. Sukan ini turut dikenali sebagai Olimpik Musim Panas diadakan setiap empat tahun sejak 1896 kecuali ketika Perang Dunia. Lima cecincin Olimpik ini direka bentuk pada tahun 1913, dan diguna buat pertama kali dalam Olimpik Musim Panas 1920 di Antwerp. Pada tahun 2004, Sukan Olimpik ke-28 telah kembali diadakan di tempat asalnya di Athens, Greece.

Asal sukan Olimpik tidak lagi diketahui tetapi banyak lagenda tertulis bersama - sama sukan ini. Sambutan pertama Sukan Olimpik yang direkodkan adalah pada 776 SM, walaupun tarikh ini bukanlah kali pertama Sukan Olimpik diadakan. Pada masa itu, hanya satu acara dipertandingkan.

Sejak itu, sukan mula menjadi penting dalam Yunani Purba dan mencapai kegemilangannya pada abad ke-6 dan ke-5 sebelum Masihi. Olimpik juga mempunyai kepentingan agama iaitu sebagai penghormatan kepada Zeus (patung besarnya ada di bandar Olympia). Pemenang sukan ini akan dihormati dan dimasukkan ke dalam puisi dan dijadikan patung.

Temasya yang diadakan empat (4) tahun sekali ini berjaya menarik penyertaan atlet-atlet terbaik dunia dan kebiasaannya banyak rekod-rekod dunia yang dicipta di temasya tersebut.  Walaupun hadiah yang diperolehi hanyalah berupa pingat tetapi ianya tidak menghalang penyertaan atlet-atlet berkenaan. Namun begitu, oleh kerana prestijnya tinggi, banyak negara memberi insentif lumayan kepada pemenang-pemenang pingat di temasya berkenaan kerana kejayaan di Sukan Olimpik akan mendapat liputan yang meluas dan akan menaikkan nama negara berkenaan di seluruh dunia.

Oleh kerana pertandingan yang semakin mencabar, penyertaan di Sukan Olimpik bukanlah satu perkara yang mudah.  Kebanyakan sukan telah menghadkan penyertaan dengan menetapkan tahap kelayakan yang tinggi di samping beberapa jenis sukan yang lain terpaksa bertanding di pusingan kelayakan mengikut zon atau benua.  Ini selaras dengan hasrat Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk menghadkan jumlah penyertaan sekitar 10,000 orang di temasya berkenaan.

SUMBER : ROAD2LONDON




TEMA HARI KEMERDEKAAN 1970-2012



1970 Muhibah dan Perpaduan
1971 Masyarakat Progresif
1972 Masyarakat Adil
1973 Masyarakat Berkebudayaan Malaysia
1974 Sains dan Teknologi Alat Perpaduan
1975 Masyarakat Berdikari
1976 Ketahanan Rakyat
1977 Bersatu Maju
1978 Kebudayaan Sendi Perpaduan
1979 Bersatu Berdisiplin
1980 Berdisiplin Berbakti
1981 Berdisiplin Berharmoni
1982 Berdisiplin Giat Maju
1983 Bersama Ke Arah Kemajuan
1984 Amanah Asas Kejayaan
1985 Nasionalisme Teras Perpaduan
1986 Bangsa Tegas Negara Teguh
1987 Setia Bersatu Berusaha Maju
1988 Bersatu
1989 Bersatu
1990 Berjaya
1991 Wawasan 2020
1992 Wawasan Asas Kemajuan
1993 Bersatu Menuju Wawasan
1994 Nilai Murni Jayakan Wawasan
1995 Jatidiri Pengerak Wawasan
1996 Budaya Penentu Kecapaian
1997 Akhlak Mulia Masyarakat Jaya
1998 Negara Kita, Tanggungjawab Kita
1999 Bersatu Ke Alaf Baru
2000-2006 Keranamu Malaysia
2007 Malaysiaku Gemilang
2008 Perpaduan Teras Kejayaan
2009 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan
2010 1 Malaysia Menjana Transformasi
2011 1Malaysia : Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera 
2012 55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati


TEMA HARI KEMERDEKAAN 2012



"Janji Ditepati" dipilih sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos.

Sarawak pula akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, bagi perayaan tahun ini, ia akan melibatkan penyertaan lebih aktif golongan belia dan penyertaan spontan orang ramai.

Perarakan Hari Kemerdekaan akan diadakan di Dataran Merdeka manakala pada sebelah malamnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan bersama rakyat di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyampaikan amanat merdeka dan amanat Hari Malaysia.

"Pada keseluruhannya saya yakin perayaan Hari Merdeka dan Hari Malaysia kali ini akan lebih hebat dari dulu, cuma tinggal lagi pada 16 September kita akan beralih ke Sarawak untuk meraikan Hari Malaysia dan jawatankuasa mencadangkan supaya kita bersama-sama pula ke kawasan luar bandar di Sarawak," katanya. - BERNAMA